Mengenali Ilmu Khilaf dikalangan Ulama'

11:47 PM Posted by اسمى عزيزه

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana dipermudahkan dan dilapangkan masa untuk berkongsi serba sedikit serta memperingati diri sendiri serta sahabat-sahabat sekalian di waktu cuti ini….
Perkongsian kali ini adalah mengenai sebuah buku yang saya baca sepanjang menghabiskan cuti pada kali ini…Buku ini bertajuk Khilaf, Prinsip & disiplin karangan Abdul Mu’izz Muhammad, diterbitkan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
Buku ini mengupas dan membincangkan berkaitan perselisihan pandangan dalam kalangan ulama’ atau disebut sebagai perkara khilafiyyah.
Akhir-akhir ini kalau dilihat di media-media pelbagai masalah berlaku terutamanya berkaitan perselisihan pendapat sehingga berlaku kepada permusuhan yang dahsyat, memfitnah, label melabel, tuduh menuduh dan lain-lain lagi sehinggakan ada pihak yang ingin melihat pihak yang dibenci tersebut ditangkap dan dipenjara. Perpecahan demi perpecahan akhirnya hanya akan melemahkan umat Islam sendiri dan memberi masalah dalam menjalankan gerak kerja Islam.
Musuh musuh Islam hanya tersenyum apabila umat Islam bercakaran sesama sendiri dek kerana perbezaan pendapat dalam perkara-perkara furu’. Umat islam perlu mendalami ilmu tentang khilaf. Ini adalah kerana kerana, permasalahan khilaf di kalangan ulama’ sering terjadi dan tidak dapat dielakkan. Khilaf dikalangan ulama’ bukanlah perkara baru tetapi ia sudah ada sejak Islam berkembang beratus-ratus tahun dahulu lagi. Selepas kewafatan Rasulullah, segala permasalahan yang berlaku dirujuk kepada sahabat sahabat yang hidup sezaman dengan Rasulullah.
Sekiranya permasalahan tersebut adalah perkara baru yang tidak pernah berlaku di zaman Rasulullah maka para sahabat akan berijtihad berdasarkan Al-Quran dan as-Sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah. Setiap pendapat yang dikeluarkan para sahabat berbeza-beza berdasarkan kefahaman mereka dalam memahami al-Quran.
Walau bagaimanapun, khilaf yang dibenarkan dalam Islam adalah berkisar kepada perkara furu’ dan tidak menyentuh perkara-perkara usul. Jika perselisihan tersebut berlaku dalam perkara furu’ atau cabang-cabang agama, Islam meraikan perbezaan pandangan tersebut. Oleh kerana itu, apabila berlaku khilaf dalam perkara furu’, tidak timbul pendapat mana yang betul, pendapat mana yang salah atau pengikut wahabi atau sebagainya tetapi yang sebenarnya adalah pendapat mana yang mempunyai dalil yang paling rajih(kuat), maka pendapat itu yang boleh digunakan untuk beramal.
Berdasarkan apa yang saya perolehi daripada buku tersebut, khilaf terjadi disebabkan oleh banyak faktor. Antaranya ialah Perselisihan Qiraat bacaan Al-Quran. Al-Quran diturunkan oleh Jibril sebanyak tujuh wajah bacaan. Setiap ulama’ membaca dengan qiraat yang berbeza dan pemahaman yang diperolehi oleh mereka juga turut berbeza. Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan percanggahan diantara mereka kerana Allah sendiri telah menurunkan Al-Quran dalam tujuh bentuk bacaan.
Selain itu, factor lain ialah tidak sampai sesetengah dalil kepada mujtahidin. Ini adalah punca terbesar khilaf dikalangan ulama’. Tidak seperti Al-Quran, setiap ayat, kalimah dan huruf yang diturunkan Allah kepada Rasulullah disampaikan kepada sahabat tanpa ada satu pun yang tertinggal. Berbeza dengan hadis Rasulullah yang perlu dicari dan sangat luas periwayatannya. Ibnu Taimiah telah mengatakan bahawa mustahil sekiranya ada yang mengatakan keseluruhan hadis Rasulullah terkumpul pada pengetahuan seseorang. Ini adalah kerana, setiap kali Rasulullah menyatakan sesuatu hadis kepada seorang sahabat, berkemungkinan sahabat lain tidak mendengar hadis tersebut dan pada waktu yang lain Rasulullah menyatakan pula hadis yang berbeza kepada sahabat lain pula.
Hal ini dapat dibuktikan apabila seorang wanita tua datang bertemu dengan Saidina Abu Bakar untuk bertanya tentang Faraidh. Abu Bakar pun berkata,

“di dalam Kitab (al-Quran) tiada bagimu, dan aku pun tidak tahu hakmu berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W, akan tetapi biar aku bertanya pada orang ramai terlebih dahulu.”

Apabila Abu BAkar bertanya kepada orang ramai, Al-Mughirah dan Muhammad Al-Ansari bangun dan mendakwa bahawa beliau pernah menyaksikan Rasulullah menyelesaikan masalah Faraidh dan baginda memperuntukkan 1/6 faraidh untuk kes itu.

Dua orang sahabat tersebut bukanlah sahabat yang rapat seperti rapatnya Rasulullah dengan Abu BAkar tetapi beliau ada ketika Rasulullah menyelesaikan masalah itu dan Abu BAkar tidak ada ketika itu. Oleh itu, masalah tersebut dapat diselesaikan. Banyak lagi kisah-kisah sebegini yang amat baik untuk difahami dan dihayati.
Cukuplah sekadar membincangkan dua punca utama berlakunya khilaf dalam kalangan ulama’ walaupun masih ada banyak lagi faktor lain.

Oleh itu, kita perlulah berlapang dada terhadap segala khilaf yang berlaku dalam kalangan ulama’. Selain itu saya turut menyokong apa yang ditulis oleh Ustaz Zaharudin, dalam Zaharuddin.net iaitu:
“ jangan terlalu mudah menggelarkan seseorang dengan gelaran WAHABI atau terkeluar dari kelompok ahli sunnah wal jamaah. Adalah tidak tepat untuk menuduh pandangan ijtihad selain mazhab Syafie adalah Wahhabi, kerana kebanyakkan pendapat yang lain yang diterima pakai oleh sebahagian kelompok di Malaysia (yang berlainan) sebenarnya bukanlah ijtihad Wahabi tetapi adalah dari kalangan mazhab-mazhab ahli sunnah yang lain seperti Hanbali, Maliki dan Hanafi.”
Kesimpulannya, sebagai umat Islam kita perlu mencerminkan imej Islam yang baik. Janganlah kita terus bergaduh, memfitnah, kutuk mengutuk hanya disebabkan perselisihan pendapat dalam hal agama oleh mereka yang sememangnya layak. Masih banyak lagi masalah umat yang kita langsung tidak ambil perhatian. Sama-sama lah kita memperbaiki diri dan merenung kembali berapa banyak kerja-kerja Islam yang kita buat sebagai sumbangan kita pada agama kita……wallahu a’alam