Gugur di Jalan Dakwah

10:09 PM Posted by اسمى عزيزه

Tidak seperti gugurnya dedaun dari pokok atau jatuhnya sesuatu dari tempat tinggi, keguguran di jalan dakwah adalah satu yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera yang lima. Seseorang yang gugur di jalan dakwah tidak akan merasa sakit atau menemui kesan lebam pada mana-mana bahagian badannya, kerana ia adalah soal maknawi atau isu berkaitan insan dengan tuhannya.

Penggabungan diri dengan dakwah bermula dengan kesedaran seseorang terhadap tanggungjawab yang harus ia pikul bagi pihak Allah dan rasulnya, iaitu tanggungjawab menegakkan kebenaran, menentang kebatilan dan menyambungkan risalah dengan generasi seterusnya.

Ia adalah amal yang berterusan dan memerlukan keazaman ulul azmi dari kalangan rasul. Dari keazaman yang kuat ini usaha diteruskan untuk mengumpul seberapa banyak kekuatan sama ada dari segi bilangan atau juga peralatan. Dan siaplah dirimu dengan kekuatan untuk berdepan dengan mereka sedaya upaya kamu.

Da'i bukan muslim biasa. Mereka ialah orang yang meletakkan agama Allah di hadapan dan sentiasa bersiap siaga untuk berada dimana tuhan mahu ia berada mengikut kepentingan dakwah. Diri dan hartanya wakaf untuk agamanya. Mereka tidak memiliki diri mereka lagi, kerana mereka telah berbaiah dan menjaul diri mereka kepada Allah, harganya ialah syurga.

Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang mukmin diri mereka dan harta mereka dengan syurga…mereka berjuang dijalan Allah lalu membunuh dan dibunuh, satu janji yang pasti ditepati seperti tercatat dan Taurat,Injil dan Quran.

Inilah cara bagaimana Allah menghidupkan seseorang dalam kehidupan yang barunya. Wahai orang-orang yang beriman sahut seruan Allah dan rasulnya apabila ia menyeru kamu kepada apa yang menghidupkan kamu. Begitulah ketinggian seorang da'i waktu ia berada pada kemuncak kesetiaan kepada Allah, Rasul dan agamanya. Oleh itu berpuluh tempat di dalam Quran Allah memperingatkan mereka tentang kesetiaan. Setialah dengan baiah kamu disebut berulang kali tanpa jemu dan puas.

Namun kesetiaan datangnya dari keimanan, keimanan ditegakkan dengan keazaman dan keazaman datangnya dari kesedaran. Apabila kesedaran telah lemah dan keazaman mula luntur, maka kesetiaan juga akan terjejas. Begitu bermula kisah keguguran.

Mungkin banyak pentafsiran-sebahagiannya teknikal di sebalik fenomena keguguran tetapi yang jelasnya ialah mereka telah merungkai baiah, merombak kesetiaan dan membatalkan jual beli yang mereka telah meterainya dengan Allah. Kini diri mereka kembali kepada mereka dan khidmat mereka adalah untuknya.

Akan dapat dilihat dengan jelas perbezaan atau jurang cara hidup antara da'i yang mewakafkan hidup mereka untuk Allah s.w.t dengan mereka yang membatalkan jual beli mereka dengan Allah dan memulakan hidup baru diri mereka dan keturunan mereka dalam dunia yang mereka sangka kan milik mereka.

0 comments:

Post a Comment