SALAM RINDU UNTUKMU AYAH…..

2:35 AM Posted by اسمى عزيزه

Petang rabu, 17 Januari 2007 saya mendapat panggilan daripada pensyarah yang saya memanggilnya dengan panggilan ummi. Kali ini, ummi call bukan atas urusan kuliah tetapi ummi memberitahuku bahawa ayahanda ku yang tercinta sudah pun menyahut panggilan Ilahi. Perasaanku seolah – olah seperti disentap dengan kuat. Saya tidak percaya apa yang diberitahu Ummi. Lantas saya terus menelefon ibuku di Kuantan. Tetapi panggilan tersebut dijawab oleh abangku yang sulong. Saya terus bertanya kepada abang dan dia menyatakan perkara yang sama seperti yang diberitahu oleh Ummi. Tiba-tiba perasaan saya sangat geram kerana tidak diberitahu terlebih awal.

Tanpa berfikir panjang saya terus mengemas pakaian untuk pulang ke kampung. Sampai di stesen bas Batu Pahat, semua tiket ke Kuantan sudah pun habis. YaAllah, beratnya ujian mu YaAllah…pada waktu itu, emosi saya sudah pun tidak terkawal, saya bertindak di luar jangkauan, saya memarahi driver teksi yang enggan menghantar saya ke Kuantan dengan alasan semua Jalan dari Johor menghala ke Kuantan telah pun ditutup kerana banjir. Dengan emosi yang tidak terkawal, saya menendang kerusi yang ada berhampiran dengan stesen teksi dek kerana memarahi pemandu teksi tersebut. Sahabat saya segera menasihatkan saya supaya bersabar, setiap kesulitan pasti ada kemudahan. Mungkin saya terlupa dengan firman Allah :
" Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan ;" Kami telah beriman,"sedangkan mereka tidak diuji ? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta ."(Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

Sahabat saya dan pemandu teksi yang dimarahi oleh saya berusaha mencari bas yang ke Kuala Lumpur untuk ditumpangkan ke Puduraya. Akhirnya, alhamdulillah ada sebuah bas KKKL yang sanggup menumpangkan saya ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan saya tidak dapat menahan air mata dari terus keluar dan membasahi pipi. Penumpang di dalam bas tersebut ada yang menunjukkan reaksi pelik dan simpati melihat keadaan saya. Bermacam-macam perasaan yang melanda jiwa.

Setelah sampai di rumah, saya seperti tidak percaya melihat tubuh yang kaku di atas katil adalah tubuh ayah yang selama ini menyayangiku sepenuh hati dan perasaan. Terdetik dihatiku, selepas ini tidak ada lagi orang yang mampu memberi kasih sayang yang sebegitu kepadaku. Dunia ini seolah-olah gelap bagiku. Saya merasakan bahawa inilah ujian yang paling berat yang Allah timpakan kepada saya sepanjang hidup.

Malam itu juga, saya mencium dahi ayah yang terbujur kaku, dan kali terakhir saya mencium ayah ialah sewaktu beliau dikafankan. Apa yang paling saya sesali ialah sepanjang hidupnya saya tidak pernah menciumnya sebelum pulang ke asrama, hanya sekadar bersalaman dan mencium tangan dek kerana perasaan malu. Tapi, bila tubuh bapa terbujur kaku, saat itulah baru saya mencium dahinya. Saya terasa seperti saya langsung tidak pernah menunjukkan dan menzahirkan kasih sayang ku terhadapnya walaupun hakikatnya saya sangat menyayanginya. YaAllah, saya dah terlewat, saya menyesali sikap saya kerana ayah saya sentiasa menunjukkan kasih sayangnya kepada anak-anaknya sehinggakan saya merasai diri ini disayangi tetapi kenapa begitu susah untuk saya membalas semula kasih sayang tersebut dengan menzahirkannya. Inilah yang dikatakan ‘Erti Hidup Pada Memberi’. Menangis, sedih, menyesal yang saya mampu kerana saya belum sepenuhnya membahagiakan ayah.
Hidup ini sangat singkat, saya tidak menyangka ayah akan meninggalkanku seawal ini di saat saya masih belum sempat membalas jasanya, saya masih menagih kasih dan sayangnya. Kita merancang, Allah juga merancang tetapi perancangan Allah jauh lebih hebat.

Pada 17 Januari 2010 ni, tepat 3 tahun kembalinya ayah yang tercinta menemui Allah s.w.t. Saya sangat merindui untuk menatap wajah ayah yang telah 3 tahun meninggalkan saya. Tidak ada lagi yang dapat saya lakukan selain bersabar dan tetap berusaha tegar menghadapi semuanya yang berlaku. Semoga segala amal ibadah yang dilakukan menjadi bekal kepada ayah dalam menemui sang khaliq. Mudah-mudahan Allah menempatkan ayahanda ku yang tersayang di dalam golongan orang-orang yang beriman serta beramal soleh. Jauhkannya daripada segala azab seksaan mu YaAllah…amin

Saya berharap kepada sahabat-sahabat yang masih mempunyai ayah dan ibu, taatilah dan hormatilah mereka sementara masih ada.
Firman Allah bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia".
Surah Israk (23).

1 comments:

Post a Comment